Divisyen (tentera)
Divisyen (tentera)

Divisyen (tentera)

Divisyen (Division) ialah sebuah formasi tentera yang besar, biasanya mempunyai anggota antara 10,000 dan 30,000 askar dan diperintah oleh seorang Mejar Jeneral. Dalam kebanyakan tentera darat, divisyen terdiri daripada beberapa rejimen atau briged; seterusnya, beberapa divisyen biasanya membentuk satu kor. Dalam kebanyakan tentera moden, divisyen cenderung menjadi unit gabungan tempur yang paling kecil dan mampu membuat operasi dengan bebas; ini adalah disebabkan oleh peranan sebagai satu unit dengan pelbagai pasukan pertempuran dan pasukan bantuan tempur yang sesuai, yang boleh dibahagikan ke dalam pelbagai kombinasi organik.Walaupun fokus rencana ini adalah pada divisyen tentera darat, dalam penggunaan tentera laut divisyen mempunyai makna yang sama sekali berbeza, merujuk sama ada jabatan pentadbiran di atas kapal tentera laut dan kapal pengawal pantai serta markas pantai, atau sub-unit beberapa kapal dalam flotila atau skuadron. Dalam penggunaan pentadbiran, saiz unit adalah berbeza-beza, walaupun biasanya ada divisyen berjumlah kurang daripada 100 orang. Di dalam tentera laut Amerika Syarikat dan Komanwel seorang pegawai divisyen (Divo) biasanya berpangkat ensain atau leftenan (JG), tetapi boleh menjadi pegawai yang berpangkat lebih tinggi dalam keadaan tertentu atau di atas kapal perang besar , yang menyelia satu pasukan kelasi dalam melakukan tugas-tugas mereka.